followers

Jumaat, 29 Julai 2011

Adab Berpuasa Ramadhan ~





Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat cerdik sungguh.. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi siang dan malam sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti Solat Terawih, Solat Witir, Solat Tahajjud, 
Tadarus Al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya.

Sabtu, 16 Julai 2011

MALU SEPARUH IMAN


  
“MALU ITU SEPARUH IMAN”. Begitu sabda Rasulullah 1418 tahun lalu.
 Malu yang dimaksudkan ialah;-

malu kepada Allah.

Malu untuk melakukan maksiat dan

 malu meninggalkan taat.  

 Jika malu itu 50% daripada IMAN, apakah yang 50% lagi?. Yang selebihnya ialah TAKWA.
 MALU DAN TAKWA adalah gandingan sifat yang menjadikan seseorang mempunyai 100% keimanan. Takwa bermaksud bukan saja takut kepada Allah tetapi lebih daripada itu 'buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang ditegah' 

Jika sekadar takut saja tak jadi apa-apa. Misalnya takut gagal dalam peperiksaan tidak bererti jika tidak diikuti dengan rajin membaca buku dan mengulangi pelajaran. Takut kepada Allah mestilah diikuti dengan melakukan ketaatan dan menjauhi larangan.  Ukurlah diri kita berapa peratuskah sifat MALU dan TAKWA yang ada pada diri kita. Itulah darjah keimanan kita. Bak kata orang periksalah diri kita sebelum kita diperiksa. 

Ulama pernah menyebutkan 'bertafakkur satu saat (dalam memikir kebesaran Allah) adalah lebih baik daripada beribadat 1000 tahun'. Ini jangan disalahtafsirkan sebagai tak perlu beribadat memadai dengan tafakkur. Ia cuma memberi gambaran bahawa tafakkur menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan beribadat.  Proses musyahadah perlu dilakukan secara konstan sehingga menjadi darah daging. Atau sehingga terasa benar di dalam diri kita tentang kebesaran Allah dan merasakan bahawa 'tidak ada sesuatu yang Allah jadikan secara sia-sia'. Kesemuanya ada hikmah yang di luar kemampuan kita untuk memikirkannya. 

Musyahadah menjadi satu daripada beberapa jalan untuk mendapat 'iman'. Dengan iman ini kita akan berasa lazat berzikir, mencari ilmu agama, melakukan ibadat fardu, menambah dengan ibadat sunat serta berusaha mencari keredhaan Allah. Sebaliknya kita benci melakukan kejahatan sebagaimana takutnya kita menghampiri kepada api neraka. Barulah ketika itu kita merasakan kelazatan iman dan terasa hubungan yang rapat dengan Allah disebabkan oleh keredhaan Allah terhadap diri kita. 

Di samping melakukan proses musyahadah, kita perlu melakuakn muraqabah yakni menghampirkan diri terhadap Allah dengan melakukan segala amal fardu dan sunat. Amalan 'hablum min'Allah' (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan dengan manusia). Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan juga sesama manusia.  

Dalam hubungan ini, Allah sering mengingatkan kita supaya berjalan/melawat di muka bumi Allah dengan niat melihat kebesaran Allah sambil memerhatikan balasan yang Allah timpakan kepada mereka yang menganiaya diri mereka sendiri.  

Semoga dengan coretan di atas dapat menjadikan diri kita khususnya diri saya sendiri orang yang sentiasa muhasabah diri dan bermusyahadah serta bermuraqabah mudah-mudahan kita diterima menjadi orang yang soleh yang bakal menghuni syurga di akhirat kelak. Amin ya Rabbal Alamin. 

Masyitah Direbus Kerana Cinta~




Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan kebongkakannya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan disiksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka tidak akan diganggu.

Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut "Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah "Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian Alam.

Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu. Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa usul periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.

Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun. Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.

Dengan keputusan itu, Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak satu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Sambih ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.

Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anaknya yang masih kecil itu disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu samada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaan Allah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata-kata kepada ibunya, Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti kita".

Bila mendengarkan kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah.

Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati. Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia di dalam syurga.

Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril a.s : "Itulah Makam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga." Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia.

Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah. Kuatkan iman dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul itu melebihi dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik anak-anak dengan Islam. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Marilah sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan nyawa keluarganya demi mendapatkan cinta kepada Allah.

Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya ?

Selasa, 12 Julai 2011

Jihad Cinta Mardhatillah- Bahagian 1&2









1 intro


Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad,gahnya tersergam indah dipersada Bandar Batu Berendam. Petang yang masih terang mengusung lazuardi jingga menandakan senja kian tiba. Kelihatan penghuni-penghuni asrama SMKASM masih berlegar-legar beriadah di kehijauan padang sekolah. Gerimis peluh yang jatuh ke tanah berumput hijau menjadi bukti kesungguhan mereka.
Suasana sepi menyelubungi langit minda seorang remaja yang sedang duduk di atas sebuah bangku batu berhampiran padang sekolah sambil termenung memandang tepat ke jihat awan nilakandi. Selesa terasa disapa angin sore yang bertiup sepoi bahasa. Sayu atma tatkala retinanya menangkap fenomena rakan-rakannya yang sedang beriadah di padang sekolah. ”Seronoknya kalau aku dapat bermain sama,” rintih Hazriel dalam keadaan hanya Tuhan mendengar keluhnya. Fikirannya kini terlontar ke kolong diksi guru kelasnya,Ustazah Mariam,mengiang-ngiang dalam benak otak sejak waktu pengajaran dan pembelajaran di kelas pagi tadi.

“Hazriel,kamu ada bawa wang untuk membayar yuran?Kalau boleh saya mahu wang itu secepat mungkin. Kamu sudah lama bertangguh untuk menjelaskannya. Jika kamu tidak membawa wang yuran itu minggu hadapan,saya terpaksa mengambil tindakan,” Bingit diksi Ustazah Mariam bermonolog nyaring di minda Hazriel. Kata-kata itu begitu menyentuh pintu perasaannya yang kian diterjah ekspresi sayu. “hmm..,” keluh sukma Hazriel metah gundah.


Hazriel membesar dalam sebuah keluarga yang sangat miskin dan dhaif. Bapanya bekerja di sebuah kebun kecil milik ketua kampung. Gaji yang diperoleh adalah kurang daripada seratus ringgit seminggu kerana kebun tempat beliau bekerja itu bilangan pekerjanya sangat ramai. Ibunya pula telah lima tahun menderita penyakit lumpuh yang dihidapi sejak melahirkan adik bongsunya,Qistina. Dua orang adiknya , Mikael dan Qistina masing-masing berumur 14 dan 10 tidak berpeluang untuk bersekolah kerana kemiskinan keluarganya yang metah. Hanya Hazriel sahaja yang bernasib baik,dapat menjejakkan kaki ke sekolah sejak daripada peringkat rendah lagi. Namun begitu, kondisi keluarga Hazriel yang sangat miskin menyebabkan Hazriel tidak mampu untuk tinggal di asrama kerana kos pembiayaan yang sangat mahal. Memang tersusun kemas di sudut kecil hatinya untuk merasai kehidupan berdikari di asrama,namun keadaan keluarganya yang diselimut kebah kemiskinan memaksa dirinya hanya mampu melihat bangunan asrama yang gah dari luar pagarnya sahaja.



2 Berat mata memandang,Berat lagi bahu memikul

Pagi yang hening. Kelihatan suria samar baru muncul bagi menabur rata cahayanya ke seluruh pelusuk benua nusantara. Lunak terdengar kicauan sekumpulan burung yang bertenggek molek di atas bumbung sebuah bangunan minangkabau. Tiba-tiba harmoni melodi siulan burung-burung itu dipecahkan nyaring loceng sekolah berdering menunjukkan bermulanya sesi persekolahan pada hari itu. “krrrnnngggg…,”. Kelibat seorang pelajar lelaki masuk melepasi pagar sekolah yang hampir-hampir di kunci rapi oleh pengawas bertugas. “jarang aku lihat kau lewat,ada apa-apa masalah ke kawan?” soalan yang sengaja didiksikan pengawas tersebut,Rizal namanya. “Tiada apalah. Aku cuma terbangun lewat pagi tadi,”jelas Hazriel. “ Iyalah tu. Lekaslah bergerak ke kelas kau, loceng pun dah berbunyi ,nanti terlewat pula,” tenang Rizal berdialog. “terima kasih ya Jal,” , “sama-sama,” .

Rizal merupakan satu-satunya rakan ataupun individu di sekolahnya yang mengetahui perihal keluarga Hazriel yang begitu dihimpit jidar kefakiran. Hazriel tidak pernah memberitahu sesiapa tentang dirinya atas dasar tidak mahu menyusahkan orang lain. Rizal adalah seorang anak orang kaya. Sudah lama dia mahu menolong Hazriel tetapi tidak berkesempatan kerana rakannya itu sering menyisihkan diri daripada orang lain.


Suasana riuh rendah kelas 4 Sc 2 memecahkan keheningan waktu rehat tengah hari itu. Pelajar-pelajar sibuk dengan hal masing-masing.Berborak,berbincang,membaca dan sebagainya. Dalam riuh rendah,  ada juga yang termenung seorang diri. Hazriel berteleku ,termenung memandang telatah rakan-rakannya. Hendak makan di kantin,wang pula tiada. Memikirkan soal wang yuran yang perlu dijelaskan membuat hati gusarnya bertambah bah dengan kondisi gundah. Sebenarnya dia sedang berusaha mengumpul wang bagi membiayai kos perubatan ibunya. Setiap hari dia menyimpan wang yang dibekalkan oleh ayahnya walaupun hanya 50 sen sehari. Dengan hasil tabungan itulah dia berniat mahu membantu ibunya kerana hanya itu saja mampu dia lakukan. Kini Hazriel dalam dilema. Memilih ibu atau sekolah. Keadaannya sekarang seperti ‘Diluah mati mak, ditelan mati bapa’. Kepalanya kian gusar,runsing memikirkan mafsadah yang harus ditempuh. Dia lalu bingkas daripada berteleku lalu bergegas nekad menuju ke bilik guru bagi menceritakan masalahnya kepada Ustazah Mariam.


Pintu ternganga luas seperti mengalu-alukan kehadirannya. Di hadapan bilik guru, Hazriel berwara-wiri tanpa tujuan yang pasti. Pada mulanya dia ingin berjumpa Ustazah Mariam untuk meluahkan segala-galanya yang terkurung lama di penjara mulut, tetapi entah kenapa tatkala tapak kakinya menjejak alas kaki di muka pintu,langkahnya kaku, lidahnya kelu,dirinya bagi direndam dalam air sejuk paras beku,buntu terpaku disitu. Dibalut perasaan yang rumit menjadikan diksinya berbahasa bisu. Dia lalu beredar dari bilik guru itu menatang perasaan gundah yang melimpah-limpah. Sememangnya Hazriel seorang yang berdarah gemuruh,gementar walaupun ingin berkata yang hak. Kelibat Hazriel yang mundar-mandir, kehulu-kehilir di koridor hadapan bilik guru itu rupa-rupanya diperhati secara sir oleh Rizal. Rizal mengorbankan masa rehatnya ke bilik guru bagi menjelaskan perihal Hazriel kepada Ustazah Mariam.


Mentari mula menunduk rukuk. Gerimis petang itu seperti mengadaptasi perasaan sedih di atma Hazriel. Dingin angin mengiwir membawa tempias gerimis menyitir-nyitir wajah muramnya. Selesa dia berbaring di teratak sebuah pondok buruk di hadapan rumahnya tidak menunjukkan keselesaan emosinya. Sesekali dia terfikir untuk menamatkan sahaja alam persekolahannya demi melihat ibunya pulih seperti sediakala. Tetapi jika dia berhenti sekolah, dia tidak dapat memberikan kejayaan kepada ibubapanya. Hazriel mati akal. Dia tidak dapat berfikir tatkala otaknya menafsir erti gusar.


Tiada melodi selain deruan titisan hujan yang kian melebat. Kesejukan mendorong Hazriel bingkas dari pembaringan lalu duduk merangkul erat lulutnya bagi menyitir sedikit kehangatan. Awan mengusung rona gelintin kelabu,menyelimut langit. Kondisi sekitar kian kelam laksana malam. Tiba-tiba kehadiran sebuah kereta menyeret tanah lecak menggamit enigma dalam hati Hazriel. Dia kesima, tercanguk di situ. Keluar daripada kereta itu seorang wanita bertudung labuh di naungi sekaki payung yang dipegang oleh seorang pelajar sekolah yang lengkap beruniform. Hazriel memandang tepat ke jihat mereka. Kebingungan tercetus seketika. “Ustazah Mariam! Rizal!, kenapa tak beritahu nak datang?, Jemputlah masuk ke rumah saya,” Hazriel berdiksi nyaring agar suaranya dapat didengar dalam deruan lebat hujan. Ustazah Mariam tersenyum hipokrit tatkala Hazriel memandang wajahny.Sebenarnya dalam hati beliau tersimpan rasa kasihan yang tiada bisa membuatnya tersenyum. Rizal lalu menunjukkan jalan.

Kondisi rumah papan yang usang menggamit ekspresi sayu dalam jiwa Ustazah Mariam. Rizal menunduk bak padi berisi. “Jadi ustazah dah tahu semuanya?,” suara Hazriel beritma lara. “Ya Hazriel, Rizal dah ceritakan segala-galanya kepada saya,” sahut Ustazah Mariam. Melihat ibu Hazriel yang terlantar di atas tilam keras menyentuh perasaan sebak Ustazah Mariam. Lalu takungan manik jernih dari kolam matanya menerobos keluar merentas pipi. “maafkan ustazah ya Hazriel, selama ini ustazah tidak tahu kesusahan kamu,” nada Ustazah Mariam sayup. “tak apalah ustazah,salah saya juga tidak memberitahu sesiapa,” cebik Hazriel menenangkan Ustazah Mariam. “Sungguh berat ujian yang menimpa kau. Aku harap kau bersabar . Soal yuran usah difikirkan lagi,bapa aku akan uruskan semuanya,”tenang Rizal mencelah. “terima kasih Rizal, aku tak tahu macam mana nak membalas jasa baik kau,” nada Hazriel keharuan.

Bersambung…..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...