followers

Isnin, 21 November 2011

Hukum Memberi Salam Antara Lelaki & Perempuan Ajnabi?



Oleh: Suhili bin Nain.

Salam yang dimaksudkan di sini adalah ucapan salam, dan bukannya berjabat tangan. Ada pun, tentang hukum berjabat antara lelaki dan perempuan ajnabi yang bukan mahram, maka ianya adalah haram.
Di dalam kitab Riyadhus Shalihin karya Imam An-Nawawi rahimahullah, dalam kitab Salam, ada bab yang bertajuk:
باب سلام الرجل على زوجته والمرأة من محارمه وعلى أجنبية وأجنبيات لا يخاف الفتنة بهن، وسلامهن بهذا الشرط
 Maksudnya lebih kurang:
“Bab salam orang lelaki kepada isterinya dan wanita yang menjadi mahramnya dan kepada wanita ajnabi – seorang atau banyak – yang tidak dikhuatiri  tidak menimbulkan fitnah. Begitulah juga salam perempuan kepada lelaki dengan syarat tidak menimbulkan fitnah.”
Dalam bab ini, Imam An-Nawawi rahimahullah meletakkan 3 buah hadis. Ada yang perbuatan sahabat dan ada juga perbuatan Rasulullah s.a.w yang dilaporkan oleh sahabat r.anhum. Hadis pertama, riwayat al-Bukhari, riwayat kedua riwayat Muslim dan hadis ketiga diriwayatkan oleh Abu Dawud dan At-Tirmizi.
  1. Daripada Sahl bin Sa’ad radhiallahu 'anhu, katanya: “Di rumah kami ada seorang wanita, atau dalam riwayat lain disebutkan: “Kami mempunyai seorang wanita yang sudah tua. Ia mengambil dari pokok tanaman sayur bernama Silik, lalu sayur tu diletakkan olehnya dalam kuali dan ia menumbuk-numbuk biji-bijian gandum. Maka jikalau kami semua telah selesai mengerjakan solat jumaat, kami pun pulanglah lalu kami mengucapkan salam kepada wanita tadi, kemudian ia menghidangkan makan yang dimasaknnya itu kepada kami. – Riwayat Al-Bukhari, hadis no. 860 dalam Riyadhus Shalihin karya Imam An-Nawawi.
  2. Daripada Ummu Hani yakni Fakhitah bte. Abu Thalib radhiallahu ‘anha, katanya: “Saya datang di tempat Nabi s.a.w pada hari penaklukan kota Makkah dan beliau s.a.w sedang mandi, sedang Fathimah menutupinya, kemudian saya mengucapkan salam padanya.” Dan selanjutnya Fakhitah menyebutkan kelanjutan hadis ini sehingga selesai. – Riwayat Muslim, hadis no. 861 dalam Riyadhus Shalihin.
  3. Daripada Asma bte Yazid radhiallahu ‘anhu, katanya: “Nabi s.a.w berjalan melalui kami (kelompok kaum wanita), lalu beliau s.a.w mengucapkan salam kepada kami.” – Riwayat Abu Dawud dan At-Tirmizi dan At-Tirmizi menyatakan hadis ini hasan. Hadis no. 862 dalam Riyadhus Shalihin. Hadis ini turut diriwayatkan oleh Ibnu Majah. Syaikh Al-Albani menshahihkan hadis ini dalam tahqiqnya ke atas Sunan Abu Dawud dan Sunan Ibnu Majah.
Daripada sini, hukum memberikan salam antara lelaki perempuan itu adalah dibolehkan dengan syarat ianya tidak menimbulkan fitnah dan menjurus kepada perkara-perkara haram. Dan sebagai peringatan, hukum asal ikhtilat (percampuran/pergaulan) antara lelaki ajnabi dan perempuan ajnabi adalah haram, melainkan ada sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak. Oleh itu, apabila anda ingin memberikan salam kepada perempuan atau sebaliknya, maka perhatikan, adakah ianya menurut keperluan syarak atau sekadar suka-suka? Sekiranya tidak jelas bagi anda, maka jauhilah dan bersikap warak. Takut dan bimbanglah terhadap fitnah wanita.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً هِيَ أَضَرُّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ
“Tidak aku tinggalkan selepas (kewafatan) ku fitnah yang lebih memudaratkan ke atas lelaki berbanding fitnah wanita.” – Shahih Muslim, hadis no. 4924.
 
Wallahu 'alam.

P/S: Riyadhus Shalihin bukanlah kitab khusus yang membicarakan hukum Fiqh, tetapi ianya adalah kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang kebanyakannya terdiri daripada hadis berbentuk adab dan akhlak, dan terdapat juga padanya serba sedikit hadis hukum dan berkaitan akidah.

 


Sumber Rujukan:
  • Shahih Muslim, Maktabah Syamelah 2.0.
  • Riyadhus Shalihin, Maktabah Syamelah 2.0.
  • Shahih wa Dhaif Sunan Abu Dawud, Maktabah Syamelah 2.0.
  • Shahih wa Dhaif Sunan Ibnu Majah, Maktabah Syamelah 2.0.
  • Terjemahan Riyadhus Shalihin, terbitan Pustaka Nasional.

Sabtu, 19 November 2011

Ulasan untuk Ibnu Rijal



Assalamualaikum warahmatullah

Ana bukan mahu memberi ceramah ,mengajar ,jauh sekali mahu mencari populariti murahan .Bukanlah juga hanya sekadar mahu bercanda kosong doang kepada sahabat-sahabat yang mulia sekalian. Cumanya diri ana yang hina disisi Tuhan ini mahu berkongsi sekelumit  ilmu yang telah Dia titipkan pada ana dan ana rasa sangat bertanggungjawab diatas ilmu yang telah disemat dalam dada ini untuk dikongsikan bersama-sama saudara-saudari sekalian.

Baru-baru ini ana telah membeli satu buku yang ditulis oleh Ibnu Rijal atau nama sebenarnya, Muhammad Nazri bin Rijal seorang anak negeri selat ,Pulau Pinang. Dalam buku ini ana begitu berminat dengan satu penulisannya berkaitan organisasi makhluk ciptaan Allah. Berikut ana rumuskan artikelnya itu:-

Perasaan yang wujud dalam diri setiap manusia itu fitrah. Dengan perasaanlah manusia bisa mencintai dan dicintai. Mencintai Tuhan dan merasa dicintai Tuhan. Tuhan menciptakan manusia itu sebaik-baik ciptaan seperti yang dirakamkan dalam al-Quran:- "Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia itu dalam sebaik-baik ciptaan". Tetapi benarkah manusia lebih baik daripada seluruh ciptaan Tuhan ini? Adakah manusia lebih baik daripada malaikat? adakah manusia lebih baik daripada haiwan,pokok-pokok, serangga, jin,syaitan dan lain-lain?  Jawapannya, Tidak, selagi mana mereka tidak bertaqwa kepada Allah SWT bahkan mereka lebih teruk dan hina daripada haiwan jika mereka kufur.

Yang menjadikan manusia itu terbaik adalah kerana mereka diberikan akal dan nafsu. Diberikan akal untuk mengawal nafsu. Diberikan nafsu untuk dikawal akal. Malaikat dikurniakan akal namun tidak dikurniakan nafsu.Mereka beribadah kepada Allah dan melakukan tugas masing-masing dengan patuh dan tulus. Ketiadaan nafsu menjadikan mereka tiada perasaan untuk makan,minum,tidur ,juga bercinta atau kahwin. Hidup mereka cuma terpatri untuk taat kepada Allah. Hal ini menjadikan mereka bebas dan suci daripada melakukan sebarang dosa mahupun maksiat .

Haiwan pula dikurniakan oleh Allah nafsu namun tidak dikurniakan akal. Mereka melata di atas muka bumi ini ke sana ke mari.Tinggal dalam habitat sendiri. Tidak mengganggu dan cuma kadang kala merasa diganggu lalu bertindak ganas . Haiwan mempunyai nafsu kerana itu mereka mempunyai keinginan untuk melakukan pelbagai perkara seperti makan,minum,tidur,mengawan dan sebagainya. Apabila mereka bertindak ganas sehingga mengorban atau mencederakan seseorang, atau mencuri makanan atau apa-apa lain yang negatif, mereka tidak dikira berdosa kerana mereka tidak mempunyai akal untuk mengawal nafsu mereka. Boleh dikatakan juga mereka ini bebas dan suci daripada dosa namun tidak terlepas daripada melakukan kesalahan-kesalahan lumrah.

Manusia pula mempunyai akal, mempunyai nafsu. Istimewanya manusia ialah, mereka dapat bertindak mengikut pilihan sendiri. Hendak mengikut peraturan, atau hendak mengingkar peraturan. Mereka dapat memilih kerana dikurniakan akal. Mereka dapat memilih juga kerana dikurniakan nafsu. Namun Tuhan memerintahkan agar manusia sentiasa tidak memilih menggunakan nafsu. Akal diciptakan untuk manusia adalah untuk menjadi pengawal kepada nafsu. Jika manusia gagal mengawal nafsu menggunakan akal,ini bermakna akal tidak berfungsi dan apabila akal tidak berfungsi,samalah seperti tiada akal. Dan apabila tiada akal,ini menyamakan manusia tersebut dengan haiwan! malah lebih teruk daripada haiwan. Tetapi jika dia manusia bisa mengawal penangan nafsu dengan akal,dia lebih mulia daripada malaikat kerana walaupun malaikat tidak berbuat dosa,mereka memang tidak mempunyai nafsu untuk ditahan atau dikawal. jadi mereka tidak mempunyai masalah. Berbanding manusia yang perlu bertarung dengan nafsu dengan bantuan akal.

Jadi boleh dirumuskan tingkat darjat manusia adalah seperti berikut:-

tingkat pertama: Manusia yang bertaqwa (mampu mengawal nafsu)
tingkat kedua: Malaikat
tingkat ketiga: Manusia yang keliru
tingkat bawah: Haiwan
tingkat paling bawah: Manusia yang menuruti nafsu.

wallahualam


ulasan : Jibriel Yusof
rujukan: Bertanya Tentang Tuhan by Ibnu Rijal

Sabtu, 12 November 2011

Jendela Hikmah: Tiga prinsip damaikan perbalahan


JALIN PERSAUDARAAN: Rundingan damai jalan penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman golongan bermusuhan. - Gambar hiasan

Oleh Endok Sempo Tahir




mailto:wanitajim0@yahoo.com



Islam utamakan konsep persaudaraan untuk bentuk kekuatan ummah 'BIDUK berlalu kiambang bertaut'. 'Buang yang keruh ambil yang jernih'. Demikianlah pepatah Melayu yang melambangkan kehalusan budi untuk memelihara hubungan persaudaraan serumpun bangsa. Biasanya suasana politik orang Melayu dan Islam akan tegang setiap kali pilihan raya diadakan terutama sebelum pilihan raya. Namun, sebaik saja pilihan raya selesai, kita teruskan kehidupan seperti sedia kala dan menerima realiti seadanya. Kita teruskan usaha membina martabat umat dan membaiki kehidupan kepada yang lebih baik.

Persahabatan, persaudaraan dan persefahaman terus kekal untuk membina tamadun. Pembinaan tamadun umat yang gemilang adalah agenda utama kita. Janganlah perkara remeh temeh menjadi halangan agenda besar ini. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikan antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawan puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adil kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Hujurat, ayat 9) .

Ayat itu turun kerana terjadinya perbalahan dua orang sahabat yang menyebabkan pergaduhan. Walhal puncanya kecil saja.

Diriwayatkan oleh Anas, satu ketika Rasulullah SAW dijemput melawat Abdullah bin Ubay, Baginda menaiki untanya dan diikuti sekumpulan sahabat sambil berjalan. Apabila Rasulullah SAW menghampiri Abdullah bin Ubay beliau berada betul-betul di hadapan rombongan Rasulullah SAW sambil mencemuh: 'Jauhkan dirimu, demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku`. Lalu salah seorang sahabat daripada golongan Ansar menjawab: 'Demi Allah, bau unta Rasulullah SAW adalah lebih harum daripada baumu'.

Maka pergaduhan tercetus dan turunlah ayat: "Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damailah di antara keduanya." (Hadis riwayat Muslim dan Imam Ahmad) Prinsip mendamaikan dua golongan Muslim yang bergaduh atau berperang berlandaskan kepada tiga langkah:

l Pertama, kedua-dua pihak yang berperang mesti menghentikan kekerasan ke atas satu sama lain. Siapa yang memulakan kekerasan tidak penting, apa yang penting perdamaian dan persefahaman harus segera dicapai.

l Langkah kedua, jika satu pihak berkeras untuk berperang dan tidak mahukan penyelesaian, maka pihak yang mahukan damai hendaklah disokong supaya pihak yang degil dapat ditundukkan kepada undang-undang dan ketetapan Allah (berdamai).
Keutamaan menghentikan kekerasan sesama Muslim adalah daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bantulah saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi. Seorang sahabat, Anas terkejut lalu bertanya: Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim? Rasulullah SAW menjawab: Bantulah dia dengan menghentikannya daripada menzalimi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

l Langkah ketiga, apabila pihak yang degil sudah berjaya ditundukkan, maka rundingan damai bolehlah segera dibuat untuk mencari penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman semula. Firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10) Ayat itu adalah lanjutan kepada ayat sebelumnya yang menegaskan bahawa orang yang beriman itu adalah bersaudara.

Orang-orang yang beriman sedar bahawa konsep persaudaraan dalam Islam itu penting kepada kekuatan ummah. Ikatan persaudaraan dalam Islam haruslah diutamakan dan kedudukannya mestilah di atas ikatan lain kerana persaudaraan merangkumi aspek kasih sayang, tolong menolong tanpa diskriminasi kelas, pangkat dan kedudukan juga tanpa tipu menipu atau tindas menindas. Sabda Rasulullah SAW dalam beberapa hadis mengenai persaudaraan antaranya: "Allah membantu hamba-Nya selama mana dia membantu saudaranya." (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abu Musa al-Asha'ri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi menerusi e-mel: wanitajim0@yahoo.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...