followers

Isnin, 2 Januari 2012

Bergembiralah Dengan Hasanah Selepas Mati



Bagi hamba-hamba Allah SWT yang dikehendaki-Nya, alam selepas mati penuh dengan bermacam-macam hasanah atau kebaikan hinggalah sampai ke hari kiamat dan mereka dimasukkan ke syurga.

     Berikut kebaikan-kebaikan yang akan diperolehi oleh mereka seperti disenaraikan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Minhajul Abidin:

  • Rohnya diiring naik ke langit dengan penuh penghormatan sedangkan badannya di alam dunia belum dikuburkan.
  • Selepas dikuburkan, rohnya akan aman daripada pertanyaan malaikat dan huru-hara kubur.
  • Diluaskan dan diterangi kuburannya hingga kuburan itu bertukar menjadi 'taman syurga' sampai ke hari kiamat.
  • Nyawanya ditempatkan bersama nyawa orang-orang soleh dalam keadaan bahagia.
  • Dibangkitkan daripada kubur dan dikumpulkan di Padang Mahsyar kelak dalam keadaan mulia dan dihormati, diberi pakaian dan mahkota yang indah serta mengenderai buroq.
  • Paras mukanya bersih dan bercahaya, sebagaiman firman-Nya: "Ada wajah pada hari itu bercahaya, senyum gembira."
  • Menerima catatan amalan dari sebelah kanan ( sebagai tanda selamat) dan ada pula yang tidak diberi catatan sama sekali (sebab tidak dihisab).
  • Dipermudahkan hisab, malah ada yang tidak dihisab sama sekali.
  • Timbangan kebaikannya berat, bahkan ada yang tidak ditimbang sama sekali.
  • Mendapat penghormatan menghadap Rasulullah SAW di telaga baginda dan minum di telaga tersebut. Siapa minum dari telaga baginda tidak akan haus sampai bila-bila.
  • Dapat menempuh Titian Sirat dan selamat daripada terhumban ke neraka.
  • Dapat memberi syafaat kepada orang lain pada saat huru-hara di Padang Mahsyar sebagaiman para nabi dan rasul memberi syafaat.
  • Memperolehi kerajaan yang kekal di syurga (menjadi raja).
  • Mendapat keredhaan yang maha agung daripada Allah.
  • Menghadap Allah SWT - merupakan sebesar-besar 'hasanah' di akhirat.

[Bawa Hatimu Kepada Tuhan oleh Amaluddin  Mohd Napiah]

Ingat Pada Nikmat Syurga Tatkala Disuakan Nikmat Dunia


Kalau dulu kita menyewa dan berpindah-randah, sekarang kita sudah ada rumah sendiri. Kalau dulu rumah kita sempit dan tidak selesa, sekarang masya-Allah, rumah kita luas, lapang dan amat selesa. Kalau dulu rumah kita tak cukup perkakas dan kemudahan, sekarang semuanya ada. Macam-macam ada! "Senang dan mudahlah hendak beribadat selepas ini," kata kita.

     Semasa di rumah sewa dulu, pernah tak hati kita niat dan terbetik, "Apabila aku ada rezeki dan berpindah ke rumah baru nanti, aku akan cuba berubah. Aku akan rajin beribadat, rajin solat, rajin zikir, rajin baca al-Quran dan rajin qiamullail." Atau kita belum lagi mula berniat sedemikian? Atau niat hanya tinggal niat?

     As-Syeikh Abdul Aziz bin Daud rahimahullah (seseorang salafussoleh) adalah teladan kesolehan yang patut kita contohi. Kelazatan dan kenikmatan duniawi tidak langsung mengabui mata dan membumbui hati nuraninya. Dirinya tidak terpana dengan kilauan fatamorgana duniawi. Tumpuan ibadahnya tidak tersasar. Fokusnya kepada kesejahteraan ukhrawi tetap menjadi keutamaan.

     Pada satu malam, dihamparkan kepadanya satu permaidani yang amat empuk, lembut dan gebu. Bagaimana kita agaknya andai dihamparkan permaidani serupa ini?

     Seketika tangan Syeikh Abdul Aziz mengelus dan menyentuh permaidani nan empuk itu. 'Aduhai lembut dan empuknya kamu,' getus hati beliau. Namun apa katanya?

     "Alangkah lembutnya kamu wahai permaidani. Akan tetapi permaidani syurgawi itu lebih lembut dan lebih empuk." Lalu beliau bingkas bangun memulakan solat malamnya sehinggalah masuk waktu Fajar.


[Bawa Hatimu Kepada Tuhan oleh Amaluddin Mohd Napiah]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...