followers

Isnin, 2 Januari 2012

Ingat Pada Nikmat Syurga Tatkala Disuakan Nikmat Dunia


Kalau dulu kita menyewa dan berpindah-randah, sekarang kita sudah ada rumah sendiri. Kalau dulu rumah kita sempit dan tidak selesa, sekarang masya-Allah, rumah kita luas, lapang dan amat selesa. Kalau dulu rumah kita tak cukup perkakas dan kemudahan, sekarang semuanya ada. Macam-macam ada! "Senang dan mudahlah hendak beribadat selepas ini," kata kita.

     Semasa di rumah sewa dulu, pernah tak hati kita niat dan terbetik, "Apabila aku ada rezeki dan berpindah ke rumah baru nanti, aku akan cuba berubah. Aku akan rajin beribadat, rajin solat, rajin zikir, rajin baca al-Quran dan rajin qiamullail." Atau kita belum lagi mula berniat sedemikian? Atau niat hanya tinggal niat?

     As-Syeikh Abdul Aziz bin Daud rahimahullah (seseorang salafussoleh) adalah teladan kesolehan yang patut kita contohi. Kelazatan dan kenikmatan duniawi tidak langsung mengabui mata dan membumbui hati nuraninya. Dirinya tidak terpana dengan kilauan fatamorgana duniawi. Tumpuan ibadahnya tidak tersasar. Fokusnya kepada kesejahteraan ukhrawi tetap menjadi keutamaan.

     Pada satu malam, dihamparkan kepadanya satu permaidani yang amat empuk, lembut dan gebu. Bagaimana kita agaknya andai dihamparkan permaidani serupa ini?

     Seketika tangan Syeikh Abdul Aziz mengelus dan menyentuh permaidani nan empuk itu. 'Aduhai lembut dan empuknya kamu,' getus hati beliau. Namun apa katanya?

     "Alangkah lembutnya kamu wahai permaidani. Akan tetapi permaidani syurgawi itu lebih lembut dan lebih empuk." Lalu beliau bingkas bangun memulakan solat malamnya sehinggalah masuk waktu Fajar.


[Bawa Hatimu Kepada Tuhan oleh Amaluddin Mohd Napiah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...