followers

Sabtu, 16 November 2013

Panduan untuk orang-orang yang mahu Clash.


Baru-baru ini saya ada mendapat soalan daripada seorang muslimat yang bertanya kepada saya melalui ask.fm. Suka saya untuk berkongsi soalan beliau.

"Macamane eh. Sekarang aku ada bf, tapi, sejak habis SPM haritu hati mula rasa dah taknak ber'couple' dah. Nak minta putus. Taknak dah ada apa apa relationship dengan mana mana lelaki. Tapi sampai sekarang tak cakap2 kat dia, sebab tak tahu nak cakap macam mana. Takut dia kecil hati.Macam mana?"


Jawapan saya : Jangan takut untuk berubah.Jangan takut untuk keluar daripada kejahilan. Kamu tinggalkan dia atas dasar apa? dan kamu masih bersama dia atas dasar apa? jika kamu masih bersama dengannya atas dasar kasihan atau takut dia berkecil hati, kamu bukan sahaja menyiksa perasaan kamu,bahkan kamu menjadi tidak adil pada dia. Kamu membiarkan dia bertepuk sebelah tangan. Percayalah jika suatu hari nanti dia mendapat tahu bahawa kamu masih bersamanya atas dasar itu saja..maka dia akan lebih kecewa dan patah hati. Usahlah diteruskan lagi dan jujurlah dengan diri sendiri untuk kebaikan kedua belah pihak. Perasaan itu memang tidak boleh dipaksa...memang sekarang tak rasa apa-apa tapi fikirkanlah kesan di masa hadapan.



Jika kamu masih ada perasaan cinta atau sayang kepadanya..,maka ingat...Allah tak pernah melarang rasa cinta itu bahkan Allah berikan panduan dan panduan yang Allah berikan itulah yang patut kita ikut kerana ia menuju kearah kebaikan. Panduan itu adalah nikah. Jika Allah dah takdirkan jodoh itu untuk kamu maka takkan lari gunung dikejar. Walaupun dah putus,kalau jodoh itu milik kamu maka kamu tetap akan dapat kembali bersama..tetapi lain halnya pula kalau tak ada jodoh. Kalau tak ada jodoh hari-hari bergayut pun belum tentu bersama diakhirnya.





Disini saya sediakan panduan untuk clash :-



1.Pertama sekali,apa yang kamu perlu buat ialah pupuk perasaan berani untuk keluar dari keadaan itu. Kamu minta putus bukan ada sebab lain selain untuk berubah bukan?.. jadi harus tunggu apa lagi?.. Jangan sebab orang lain niat kamu terbantut. Beranikan diri untuk berkata padanya bahawa perpisahan ini tiada sebab lain melainkan kamu mahu perbaiki diri untuk menjadi yang lebih baik. Kamu mahu membuat persiapan untuk menjadi seorang isteri/suami yang baik.


2.Kedua ,katakan padanya jika dia benar-benar sayangkan kamu maka lepaskanlah kamu dan mula perbaiki diri juga. Suruh dia jadi insan dan anak yang baik kepada kedua ibubapanya sebelum berkhidmat kepada mana-mana perempuan yang belum layak untuknya. Perpisahan ini semuanya demi kebaikan. bukan atas dasar pergaduhan dan sebagainya. Demi KEBAIKAN kedua belah pihak. Dan apabila demi kebaikan,tiada sebab untuk dia tidak melepaskan awak. Jika dia sanggup tinggalkan awak sekarang demi untuk kebaikan dan dia berusaha memperbaiki dirinya,maka awak dapat lihat bahawa dia benar2 ikhlas mahukan awak. Jika selepas putus,cepat sahaja dia dah ada orang lain,maka tepatlah tindakan awak meninggalkan orang yang hanya mahu bersuka-suka dengan awak. 


3.Selepas putus.. adalah digalakkan agar kamu tidak contact langsung ataupun boleh contact tapi jangan selalu mcm waktu bercouple dulu. Berpada-padalah dan jika ia melalaikan...maka jangan contact langsung.. isilah waktu-waktu terluang dengan wacana-wacana ilmiah yang berfaedah.


4.Carilah hobi yang baru yang melibatkan pergerakan fizikal dan mental.seperti melukis,membaca novel,belajar fizik,bio,kimia,membuat kek,menjahit,memasak dan sebagainya...kamu boleh menambah skil selain dapat mengurangkan stress.Hobi baru inilah yang menjadikan masa lapang kamu tidak dipenuhi dengan kerinduan yang membuang masa kepada yang belum halal untuk kamu. Kadang-kadang kalau tak buat apa-apa,senang untuk perasaan tu muncul semula.


5.Amalkan solat sunat hajat dan taubat,minta kekuatan drpd Allah.



Jibriel Yusof


Isnin, 11 November 2013

Taubat.

bismillah.

secangkir kasih Tuhan
tidakkah kau sedar,
ia lebih bernilai dari
tujuh lautan

segenggam rahmat Tuhan
tidakkah kau celik
ia lebih bersinar dari
jutaan bintang kau tilik..

Saat dosa kau melimpah
bah
bagai tiada tempat bisa kau penuhi
lagi
dalam setiap sudut ruang
dalam
hidupmu.

berlumur
noda
dosa
dan nista.

tidakkah kau cakna
dengan kasih dan rahmat Tuhan
semua itu lebur tak perlu kau bayar.
tertebus dengan ikhlas hati kau mohon pada
Tuhan.

mohonlah
ucaplah
padukan kata taubat pada
Tuhan.

tidak kira dosamu setinggi gunung kau tatang
rahmat dan kasih Tuhan itu melangit luas terbentang.

Allah. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.








Bicara taubat. Sebanyak manakah dosa yang telah kita lakukan. Setinggi manakah tahap pendosa yg telah kita capai. Kita manusia berdusta setiap detik yg tiada siapapun tahu kecuali diri kita sendiri dan Allah. Namun begitu,setiap insan itu pasti wujud di dalam hatinya naluri atau kemahuan untuk berubah dan berhijrah,kemahuan untuk kembali ke pangkal jalan,kemahuan untuk kembali kepada Allah. Tetapi disebabkan terlalu memikirkan dosa-dosa yang lampau,hati jadi gusar untuk bertaubat. Takut taubat tidak diterima kerana takut teulang kembali dosa yang telah dilakukan dulu. Membuatkan diri terus menangguh untuk mengucap kata taubat. Tunggu dan terus menunggu untuk menutur kata taubat di bibir, terus menangguh untuk di ukir di hati.

JANGAN BEGITU!

Jangan takut untuk bertaubat,tetapi takutlah akan azab Allah jika kita terus dengan maksiat dan tidak bertaubat. Tidakkah kita mahu akan nikmat syurga dan ketenangan yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka-mereka yang beriman? 

Firman Allah :


A069
Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, 



A070
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.




Jika kita renung kembali, jika kita sudah hidup selama 18 tahun, satu tahun ada lebih kurang 365 hari jika didarabkan dengan 18 tahun,kita cuma baru hidup selama 6,570 hari. Jika kita mula baligh sejak umur kita 14 atau 15 tahun, kita ada lebih kurang 1,460/1,461 hari yang kita melakukan dosa ditanggung oleh kita sendiri. baki 5,290 hari sebelum kita baligh itu ditanggung oleh ibubapa kita. sebab itulah kawan2 semua, kita kena selalu buat baik dan mendoakan mereka 



Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan mereka lakukan; dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.” (Surah al-syura, ayat 25)




Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan menerima taubat seseorang hambanya selagi nyawanya tidak di halkum.” (Hadis riwayat al-Turmizi, hadis Hasan Gharib).


Pandangan ahli sunnah mengatakan, apabila seseorang hamba itu bertaubat maka Allah berhak untuk menerima atau menolaknya dan tidak wajib bagi Allah menerima taubat seseorang. Namun, Allah berjanji akan menerima taubat hamba-Nya. 

Menurut al-Syarawi, Allah akan menerima taubat seseorang selagi nyawanya tidak di halkum dan menjadi kewajipan seorang Muslim supaya segera bertaubat. 

Manakala,menurut Sayyid Qutb, taubat selayaknya bagi Allah menerimanya adalah taubat yang lahir dari hati penuh keinsafan seolah-olah ia baru lahir semula dan menjadi insan yang lain. 



  Kita sendiri tahu rahmat Allah itu tiada batasnya.Tidak seperti lautan yang ada pinggiran pantainya. Tidak juga seperti sungai yang ada hulu dan muaranya. Ia persis seuntai tasbih yang diratin tanpa henti,infiniti. 

Apakah kita telah lelah memohon pada Allah sedangkan Allah tidak pernah tidur,tidak pernah mengantuk,tidak pernah terlelap,malah tidak pernah jemu mendengar rintihan kita. 

Allah itu Maha Pengampun. 

Allah menyukai orang yang bertaubat. dan Allah sayang kepada mereka yang tidak berputus asa untuk bertaubat. Walau sering jatuh tersungkur rebah seribu kali,dia tetap mencari Allah, Allah tetap di situ untuknya. Allah sentiasa sayang akan kita. Allah memberikan kita peluang untuk bertaubat dengan memberikan kita kehidupan hari demi hari. Cuma semuanya terletak pada diri kita sendiri apakah kita sayang akan diri kita atau pun tidak. Apakah kita mahu menggunakan peluang yang Allah berikan ini atau tidak. Benarlah Allah itu Maha Penyayang. 

Wahai sahabat-sahabatku sekalian. Dosa apakah yang telah kita lakukan sepanjang 1,460 hari ini? ..besarkah dosa itu? banyakkah dosa itu? 

agak-agak dosa yang kita buat dengan pengampunan dan rahmat Allah,mana lagi banyak?.. mana lagi besar?.. Allahuakbar. Jawab sendiri dalam hati anda. Jawab dengan penuh Ikhlas. bermonologlah. "Ya. Keampunan dan Rahmat Allah itu ternyata tiada hujung pangkalnya." cuma kita yg hanya perlu menggerakkan tangan menadah sepuluh jari merintih,menangis,menyesali apa yang telah kita lakukan dan bertaubat kepada Allah  dengan kita sebenar-benar taubat.

Allah juga menyeru setiap Muslim segera bertaubat dengan firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang beriman bersama-sama dengannya.” (Surah al-Tahrim, ayat 8) 

 Cukuplah. Simpanlah niat untuk menangguh untuk bertaubat atau berputus asa daripada rahmat Allah itu. Langit mendung itu membawa hujan. Analogikan setiap penyesalan yang kita lakukan itu sebagai langit atau awan yang mendung. Di sebalik semua itu,ada rahmat dan keampunan Allah yang perlu kita singkap sendiri dengan mengucapkan kata taubat. Sesungguhnya orang-orang yang bertaubat itu di dalam hatinya tiadalah sesuatu melainkan ketenangan yang abadi kerana telah didengarkan dengan khabar gembira iaitu pengampunan daripada Allah. Kita sendiri tidak mampu menafikan betapa besarnya rahmatNya  Tiada satu nikmat(rahmat juga suatu nikmat) Allah pun yang dapat kita dustakan.


Manusia tidak pernah sunyi melakukan kesalahan, kerana manusia dibekalkan nafsu sentiasa suka kepada perkara yang lazat atau keseronokan. Maka di sini, taubat adalah wajib dan fardhu ain kepada semua umat Islam. Taubatlah cara untuk menghapuskan dosa dan diampunkan Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Sebagai muslim yang baik, marilah kita sentiasa memohon taubat kepada Allah, supaya segala kesalahan kita diampunkan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 



AMARAN: JANGAN TAKUT UNTUK BERTAUBAT!! TETAPI TAKUTLAH KEPADA AZAB ALLAH!!


"Jangan mempertikaikan kalau doa lambat dimakbulkan. Tetapi bersyukurlah jika Allah melengahkan balasan dosa agar kita dapat bertaubat." kata- kata ini saya petik daripada twitter seorang sahabat. fikir-fikirkanlah wahai sahabatku


Cara-Cara Bertaubat 

  1. Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah saw : “Menyesali (dosa) itu adalah taubat”. (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

  2. Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

  3. Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah zahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.
  4. Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah :“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan taubat Nasuha, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai” (At-Tahrim : 8)

Hukum Taubat

Ketahuilah bahawa hukum bertaubat adalah ..wajib kepada semua umat Islam untuk memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (An-Nur: 31)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Wahai sekalian manusia bertaubatlah kalian kepada Allah, karena sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah seratus kali dalam sehari.” (Riwayat Al-Bukhari)






oleh: Jibriel Yusof



rujukan: al-Quran, Ustaz Nor Amin ,Taubat Hakiki. Kitab Riyadhatus Salihin.




Selasa, 12 Februari 2013

PENTING!... rapatkan SAF dalam Solat Berjemaah!







Daripada Abdullah bin Umar r.a., katanya: Sesungguhnya Rasulullah.s.a.w. telah bersabda: " Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan semua ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika meluruskan dan merapatkan saf dan jangan sekali-kali membiarkan ruangan-ruangan kosong saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya, nescaya Allah SWT menyambungkan rahmat-Nya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah SWT akan memutuskan rahmat-Nya dan inayah-Nya daripada orang tersebut" ( Riwayat Abu Daud )



Dalam Hadith ini Rasulullah.s.a.w. menegaskan pula bahawa saf yang tidak rapat akan membawa kepada putusnya rahmat dari Allah SWT. Ini berlaku kerana apabila saf solat tidak rapat maka syaitan akan datang mengisi ruang tersebut, seterusnya melalaikan ahli jamaah sehingga mereka tidak lagi mengingati Allah SWT dalam solat.


Dua janji (perkara) buruk ini jika benar-benar berlaku, cukup untuk menghancurkan kekuatan umat Islam dan melemahkan mereka selemah-lemahnya. Dari sini timbul persoalan adakah kedua-dua janji buruk tersebut sudah tertimpa ke atas masyarakat kita atau sebaliknya.



Bila kita perhatikan dan amati, kita dapat membuat kesimpulan bahawa umat Islam umat Islam sekarang dalam keadaan sangat menyedihkan. Di sana sini mereka dihina, dibunuh, tanah air mereka dijajah, dirampas dan sebagainya, sama ada perkara ini semua berlaku berpunca daripada tindakan dan strategi pihak musuh atau disebabkan budaya hidup umat Islam itu sendiri.


Kita dapat lihat di mana sahaja hatta di taman perumahan tempat kita tinggal, mereka hidup berpecah- belah dan jauh dari rahmat Allah SWT. Ini semua terjadi tidak lain tidak bukan adalah kerana mereka meninggalkan sunnah Rasulullah.s.a.w. pada umumnya dan solat berjamaah khasnya.

Dalam konteks solat fardu berjamaah, mereka bukan sahaja memutuskan atau membengkang-bengkokkan saf solat, malah langsung tidak mewujudkan apa-apa saf kerana mereka tidak menghadiri solat berjamaah. Ini membawa maksud mereka sekarang berada dalam perpecahan dan perselisihan yang dahsyat!.

Untuk keluar dari kepompong ini masalah ini, formula terbaiknya ialah semua umat Islam perlu kembali berlumba-lumba menunaikan solat berjamaah. Kita perlu menghormati sesiapa sahaja yang berjuang mengajak umat Islam kepada solat berjamaah, memberi kerjasama yang padu dan sebaik-baiknya kepada mereka.

Maknanya kalau kita benar-benar ingin mengamalkan ajaran Islam yang syumul dalam seluruh kehidupan kita, maka asasnya adalah bermula dengan solat berjamaah. Bila kita mampu beristiqamah dengan solat berjamaah barulah kita mampu kembali kepada al.Quran dan as.Sunnah dalam perkara-perkara ekonomi, sosial,politik, ketenteraan dan sebagainya.

Bila kita sudah mengamalkan Islam dalam seluruh sistem kehidupan kita, maka pada saat itu terserlah kehebatan umat Islam. Pada ketika itu barulah kita dapat mencapai matlamat yang utama iaitu keredaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bertitik tolak dari sinilah maka " Hidup di dunia dihormati kawan dan digeruni lawan, hidup di akhirat mendapat syurga Allah SWT.


Isnin, 4 Februari 2013

Bahaya Fitnah .





SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.
Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.
Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad)

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.


Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.
Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
  • Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)
  • Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).
Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.
Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)
Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.
Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.
Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.
Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.
Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.
Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.
Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.
Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a…”

dipetik dari blog  www.islamituindah.my


Selasa, 29 Januari 2013

Nikmat Allah sama-sama dikongsi.

     Dalam peperangan Khandak, Rasulullah SAW dan para sahabat telah mempamerkan teladan pengorbanan dan persaudaraan sejati lagi tiada tolok bandingnya.

     Imam Bukhari meriwayatkan dalam hadis sahihnya daripada Jabir r.a. bahawa pada hari menggali kubu: "Kami telah direntangi oleh seketul batu pejal. Sahabat-sahabat bertemu Rasulullah SAW lalu menceritakan: 'Ada batu pejal ya Rasulullah yang merintangi penggali kubu.' Jawab Rasulullah SAW: 'Nanti aku pecahkannya,' kemudian Baginda terus bangun sedangkan perut Baginda diikat dengan batu (untuk menahan lapar) Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan.

     "Rasulullah SAW mengambil pemecah batu (al-ma'ul, sejenis cangkul) lalu dicangkulnya bati itu hinnga hancur, kemudian aku (Jabir r.a.) berkata: 'Ya Rasulullah, izinkanlah aku untuk pulang ke rumah,' kemudian aku berkata kepada isteriku: 'Aku lihat Rasulullah SAW sudah tidak boleh sabar (menanggung kelaparan) lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak?' Jawabnya, 'Aku ada biji-biji bali dan seekor kambing betina.'

     "Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji bali, kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui Rasulullah SAW sedang tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk di atas dapur hampir-hampir masak. Aku berkata kepada Rasulullah SAW: 'Saya ada sedikit makanan, ayuh (jemputlah datang) wahai Rasulullah SAW dengan seorang dua lagi.' Kemudian Rasulullah SAW bertanya: 'Banyak manakah makanan itu?' Aku pun menceritakan kepada Rasulullah SAW. Kata Rasulullah SAW: 'Itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu, jangan angkat turun periuk dan juga roti; biarkanlah di atas dapur sehingga aku tiba.'

     "Kemudian Rasulullah SAW berseru kepada sekalian Muhajirin dan sekalian Ansar: 'Ayuh bangun dari tempat kamu.' Di pertengahan jalan pula Rasulullah melaung: 'Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan! Ayuh kesemua kamu!"

     Apabila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata (kepada isterinya): "Apa kata (pandangan) kamu, Rasulullah telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang lain?"

     Berkata isterinya: "Adakah Rasulullah SAW telah bertanyakan tentang makanan itu?" Jawab Jabir: "Ya!" Balas isteri Jabir: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui."

     Kemudian datanglah Rasulullah dan Baginda berkata: "Ayuh masuk dan jangan teragak-agak." Rasulullah SAW mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan dagingdi atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti masih bertambah apabila diambil sehingga sekalian yang datang merasa kenyang dan banyak bakinya lagi.

     Rasulullah SAW berkata kepada isteri Jabir: "Engkau makanlah hidangan yang berbaki kerana manusia ditimpa kelaparan."

     Dalam riwayat yang lain pula, kata Jabir: "Aku bersumpah demi Allah, mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti mula lagi dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi."

     Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala a-lihi wa sahbihi wa sallim.

Rasulullah sendiri turun padang dan terlibat dengan kerja menggali parit. Demikian juga, Baginda SAW tidak tega melihat dirinya sahaja dalam kekenyangan sedangkan para sahabatnya menekan perut dalam kelaparan dan keletihan.

     Subhanallah, lihatlah akhlak dan persaudaraan Rasulullah SAW! Saksikanlah keberkatan Rasulullah SAW!

Isnin, 21 Januari 2013

Cek Markah cgpa koku bagi Permohonan UPU Lepasan SPM 2012



Markah CGPA Koku bagi permohonan UPU lepasan SPM 2012



----------->  Klik Di Sini  <-----------




Isnin, 14 Januari 2013

Tenggelam dalam Kelam.




Tenggelam jauh aku
Dalam keruh beku
Kelam sungguh  atmaku
Mengendong dosa
Menatang nista...

Apa mungkin hati buta?
Atau mungkin jiwa tuli?
Bercabang bahasa lidah hati..

Tuhan,
Aku malu dengan Mu
Aku terlalu malu
Tika merintih ampun dariMu
Seguni dosa bukan ku bawa
Tetapi segunung ku persembahkan
Ku harap ampunMu..

Meski kerap ku rapuh
tersungkur jatuh
tenggelam jauh..
Namun ku coba berenang semula
ke persisir rahmatMu.
ke pulau ampunMu.

Ya Allah 
Ampunkan aku.


-Jibriel Yusof-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...