followers

Selasa, 29 Januari 2013

Nikmat Allah sama-sama dikongsi.

     Dalam peperangan Khandak, Rasulullah SAW dan para sahabat telah mempamerkan teladan pengorbanan dan persaudaraan sejati lagi tiada tolok bandingnya.

     Imam Bukhari meriwayatkan dalam hadis sahihnya daripada Jabir r.a. bahawa pada hari menggali kubu: "Kami telah direntangi oleh seketul batu pejal. Sahabat-sahabat bertemu Rasulullah SAW lalu menceritakan: 'Ada batu pejal ya Rasulullah yang merintangi penggali kubu.' Jawab Rasulullah SAW: 'Nanti aku pecahkannya,' kemudian Baginda terus bangun sedangkan perut Baginda diikat dengan batu (untuk menahan lapar) Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan.

     "Rasulullah SAW mengambil pemecah batu (al-ma'ul, sejenis cangkul) lalu dicangkulnya bati itu hinnga hancur, kemudian aku (Jabir r.a.) berkata: 'Ya Rasulullah, izinkanlah aku untuk pulang ke rumah,' kemudian aku berkata kepada isteriku: 'Aku lihat Rasulullah SAW sudah tidak boleh sabar (menanggung kelaparan) lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak?' Jawabnya, 'Aku ada biji-biji bali dan seekor kambing betina.'

     "Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji bali, kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui Rasulullah SAW sedang tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk di atas dapur hampir-hampir masak. Aku berkata kepada Rasulullah SAW: 'Saya ada sedikit makanan, ayuh (jemputlah datang) wahai Rasulullah SAW dengan seorang dua lagi.' Kemudian Rasulullah SAW bertanya: 'Banyak manakah makanan itu?' Aku pun menceritakan kepada Rasulullah SAW. Kata Rasulullah SAW: 'Itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu, jangan angkat turun periuk dan juga roti; biarkanlah di atas dapur sehingga aku tiba.'

     "Kemudian Rasulullah SAW berseru kepada sekalian Muhajirin dan sekalian Ansar: 'Ayuh bangun dari tempat kamu.' Di pertengahan jalan pula Rasulullah melaung: 'Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan! Ayuh kesemua kamu!"

     Apabila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata (kepada isterinya): "Apa kata (pandangan) kamu, Rasulullah telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang lain?"

     Berkata isterinya: "Adakah Rasulullah SAW telah bertanyakan tentang makanan itu?" Jawab Jabir: "Ya!" Balas isteri Jabir: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui."

     Kemudian datanglah Rasulullah dan Baginda berkata: "Ayuh masuk dan jangan teragak-agak." Rasulullah SAW mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan dagingdi atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti masih bertambah apabila diambil sehingga sekalian yang datang merasa kenyang dan banyak bakinya lagi.

     Rasulullah SAW berkata kepada isteri Jabir: "Engkau makanlah hidangan yang berbaki kerana manusia ditimpa kelaparan."

     Dalam riwayat yang lain pula, kata Jabir: "Aku bersumpah demi Allah, mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti mula lagi dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi."

     Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala a-lihi wa sahbihi wa sallim.

Rasulullah sendiri turun padang dan terlibat dengan kerja menggali parit. Demikian juga, Baginda SAW tidak tega melihat dirinya sahaja dalam kekenyangan sedangkan para sahabatnya menekan perut dalam kelaparan dan keletihan.

     Subhanallah, lihatlah akhlak dan persaudaraan Rasulullah SAW! Saksikanlah keberkatan Rasulullah SAW!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...