followers

Selasa, 12 Februari 2013

PENTING!... rapatkan SAF dalam Solat Berjemaah!







Daripada Abdullah bin Umar r.a., katanya: Sesungguhnya Rasulullah.s.a.w. telah bersabda: " Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan semua ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika meluruskan dan merapatkan saf dan jangan sekali-kali membiarkan ruangan-ruangan kosong saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya, nescaya Allah SWT menyambungkan rahmat-Nya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah SWT akan memutuskan rahmat-Nya dan inayah-Nya daripada orang tersebut" ( Riwayat Abu Daud )



Dalam Hadith ini Rasulullah.s.a.w. menegaskan pula bahawa saf yang tidak rapat akan membawa kepada putusnya rahmat dari Allah SWT. Ini berlaku kerana apabila saf solat tidak rapat maka syaitan akan datang mengisi ruang tersebut, seterusnya melalaikan ahli jamaah sehingga mereka tidak lagi mengingati Allah SWT dalam solat.


Dua janji (perkara) buruk ini jika benar-benar berlaku, cukup untuk menghancurkan kekuatan umat Islam dan melemahkan mereka selemah-lemahnya. Dari sini timbul persoalan adakah kedua-dua janji buruk tersebut sudah tertimpa ke atas masyarakat kita atau sebaliknya.



Bila kita perhatikan dan amati, kita dapat membuat kesimpulan bahawa umat Islam umat Islam sekarang dalam keadaan sangat menyedihkan. Di sana sini mereka dihina, dibunuh, tanah air mereka dijajah, dirampas dan sebagainya, sama ada perkara ini semua berlaku berpunca daripada tindakan dan strategi pihak musuh atau disebabkan budaya hidup umat Islam itu sendiri.


Kita dapat lihat di mana sahaja hatta di taman perumahan tempat kita tinggal, mereka hidup berpecah- belah dan jauh dari rahmat Allah SWT. Ini semua terjadi tidak lain tidak bukan adalah kerana mereka meninggalkan sunnah Rasulullah.s.a.w. pada umumnya dan solat berjamaah khasnya.

Dalam konteks solat fardu berjamaah, mereka bukan sahaja memutuskan atau membengkang-bengkokkan saf solat, malah langsung tidak mewujudkan apa-apa saf kerana mereka tidak menghadiri solat berjamaah. Ini membawa maksud mereka sekarang berada dalam perpecahan dan perselisihan yang dahsyat!.

Untuk keluar dari kepompong ini masalah ini, formula terbaiknya ialah semua umat Islam perlu kembali berlumba-lumba menunaikan solat berjamaah. Kita perlu menghormati sesiapa sahaja yang berjuang mengajak umat Islam kepada solat berjamaah, memberi kerjasama yang padu dan sebaik-baiknya kepada mereka.

Maknanya kalau kita benar-benar ingin mengamalkan ajaran Islam yang syumul dalam seluruh kehidupan kita, maka asasnya adalah bermula dengan solat berjamaah. Bila kita mampu beristiqamah dengan solat berjamaah barulah kita mampu kembali kepada al.Quran dan as.Sunnah dalam perkara-perkara ekonomi, sosial,politik, ketenteraan dan sebagainya.

Bila kita sudah mengamalkan Islam dalam seluruh sistem kehidupan kita, maka pada saat itu terserlah kehebatan umat Islam. Pada ketika itu barulah kita dapat mencapai matlamat yang utama iaitu keredaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bertitik tolak dari sinilah maka " Hidup di dunia dihormati kawan dan digeruni lawan, hidup di akhirat mendapat syurga Allah SWT.


Isnin, 4 Februari 2013

Bahaya Fitnah .





SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.
Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.
Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad)

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.


Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.
Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
  • Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)
  • Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).
Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.
Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)
Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.
Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.
Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.
Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.
Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.
Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.
Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.
Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a…”

dipetik dari blog  www.islamituindah.my


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...